PUTRAJAYA - Selepas menerima pelbagai kritikan dari pelbagai pihak termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, Rayani Air tampil membidas semua kritikan itu.
Ketua Pengarah Operasi Rayani Air, Kapten Sumar Lee Hashim Lee, berkata, pihaknya cuba menampilkan ciri-ciri Islam dalam syarikat penerbangan mereka kerana ia bertepatan dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Menurut beliau, Rayani Air ditubuhkan juga untuk membantu bangsa Melayu dalam mencari rezeki halal melalui pekerjaan yang patuh syariah berbanding syarikat penerbangan yang lain, bukannya bermotifkan keuntungan semata-mata.
Walaupun pemilik Rayani Air berbangsa India dan bukan Islam, namun konsep patuh syariah itu adalah cetusan idea dari empat kakitangannya dalam bidang pengoperasian termasuk Kapten Sumar Lee sendiri.
"Itu mungkin hanya sekadar pandangan peribadi Tun Mahathir. Dalam apa-apa perniagaan pun, memang syarikat hendak untung kerana jika tidak mahu keuntungan, lebih baik mereka tidak perlu berniaga dengan susah payah.
"Tetapi apabila ada dakwaan kononnya Rayani Air mempergunakan Islam untuk mengaut keuntungan, dakwaan itu tidak benar. Rayani Air hanya membawa ciri-iri Islam yang tiada pada pesaing kami sendiri.
"Contohnya bisnes tudung Fareeda atau Neelofar, jika tidak kerana ciri-ciri Islam yang ditampilkan, pengeluar tudung itu sendiri pun tidak akan tudung," katanya.
"Pakai tudung semasa bekerja, salahkah? Ia sopan dan Islam wajibkan memakai tudung. Itu antara ciri-ciri Islam yang kita masukkan. Di Malaysia sekarang, ciri-ciri keislaman sudah menjadi satu tarikan dan ia adalah satu kebaikan.
"Bukan hendak menunjukkan yang kami lebih Islam, cuma kita mahu memenuhi kehendak keislaman dengan menengahkan konsep asas ciri-ciri Islam di mana kita telah mewajibkan semua kakitangan wanita muslim mesti memakai tudung. Polisi yang kami buat itu disambut baik," katanya. - THEHYPEMEDIA.COM