Minggu depan, anak saya genap 5 bulan. Dia pun fully breastfeed, tak tambah susu formula lagi. InsyaAllah hajatnya nak bagi 6 bulan exclusive breastfeeding.
Sebenarnya kalau bukan sebab saya menjadi bapa, saya mungkin sampai bila-bila pun tak akan tahu cabaran seorang ibu untuk menyusukan anak. Kita ingatkan mudah dan senang, tetapi sebenarnya susah. Mungkin sebab itu tuhan tak ciptakan orang lelaki ada susu badan. Sebab Dia tahu kita tak mungkin akan mampu.
Saya juga selalu bawa isteri dan anak berjalan-jalan. Seperti bayi lain, anak saya juga akan merengek dan menangis meminta susu. Dia tak faham apa-apa, jadi bila-bila saja pun dia boleh minta. Sekalipun masa tu kita kat luar rumah atau di tempat awam.
Seperti isteri saya, bila dia menyusukan anak, dia akan memakai nursing cover. Untuk pengetahuan anda, nursing cover itu seperti sehelai kain yang sangat besar yang boleh menyorokkan anak anda di bawah kain itu sambil dia menyusu. Jadi orang tidak akan nampak langsung yang rupanya dia sedang menyusukan anak. Tujuan utamanya adalah agar orang tidak nampak.
Saya sebagai suami juga akan menolong isteri memakai nursing cover dan buat persediaan agar dia selesa untuk menyusukan anak. Selesa agar tidak lenguh dan tiada orang yang mengintai.
Hari ini saya tidak faham mengapa ada ibu muda di luar sana nak menunjuk yang dirinya sedang menyusukan anak walhal sebagai suami saya sedaya upaya nak melindungi isteri yang sedang menyusukan anak.
Saya faham, mungkin ada yang menganggap itu sebagai apersiasi dan kebanggaan. Tetapi boleh jadi itu juga satu kebangangan.
Benar, ibu yang menyusukan anak itu hebat. Seperti isteri saya juga, pun hebat. Banyak cabaran ibu menyusu ini. Antaranya nak memikirkan bagaimana nak memberikan susu badan yang sentiasa mencukupi, kena jaga pemakanan kerana jika tersalah makan, boleh menyebabkan anak sakit perut. Kena perah payudara supaya tidak bengkak susu dan bermacam-macam lagi kesakitan dan cabaran yang kita sebagai suami tidak akan rasai. Kita cuma hanya mampu bersimpati tetapi untuk merasainya tidak sama sekali.
Benar, menyusu badan ini mudah sebab pertama, kita dah menjimatkan perbelanjaan. Susu formula satu tin pun mahal harganya. Selepas itu jimat masa dan tenaga. Tak perlu sibuk-sibuk membancuh dan masak air panas bagai. Tetapi anda harus ingat yang bukan semua orang tuhan kurniakan susu badan yang sempurna dan mencukupi. Ada yang langsung tidak boleh menghasilkan susu badan.
Percayalah bahawa setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya. Sedangkan kalau ada seekor nyamuk yang menggigit anak sudah tentu akan membuatkan kita marah. Inikan pula kalau anak kita menangis sebab kelaparan. Jadi terpaksalah anda beri susu formula juga kan?
Jadi para ibu yang menyusu badan, perkara seperti ini kita kena fikir juga. Bukan semua orang seperti kita mampu menghasilkan susu badan sehingga berbangga-bangga dengan sesuatu yang dimilik sedangkan orang lain tiada.
Kepada lelaki pula, hargailah isteri kita. Saya bila tengok susah payah isteri saya nak mengepam susu agar bayi kami cukup makannya, saya juga terasa cabarannya. Balik kerja selepas menjemput anak di rumah pengasuh, terus beri susu yang dipam semasa berada di pejabat tadi.
Anda ingat mudah ke nak mencari ruang dan masa untuk buat semua itu?
Sebab itu, hargailah isteri kita. Mereka telah banyak berkorban untuk anak kita. Tiada pun mereka meminta elaun atau gaji sebab menyusukan anak kita. Mereka hanya mahukan penghargaan dan ucapan terima kasih serta sokongan dairpada kita, para suami dan masyarakat.
Sebagai masyarakat, usahlah menghasut orang lain supaya menyusu atau tidak menyusu. Setiap orang ada masalahnya sendiri dan tidak semua orang perlu menjadi pendebat. Saya mungkin faham kalau orang yang suka menunjuk-nunjuk mengenai susu badan ini.
"Kami nak tingkatkan kesedaran orang awam mengenai susu badan,"
"Kami nak tingkatkan kesedaran orang awam mengenai susu badan,"
Ya, saya faham sebab rata-rata orang Malaysia ini masih menganggap perkara itu sebagai simbol seks. Walhal Allah SWT memuliakan wanita berbanding lelaki dengan rezekinya kepada bayi pun Allah salurkan dengan cara yang begitu. Sepatutnya bukan ibu-ibu sahaja yang malu untuk memuat naik gambar-gambar mereka memberi susu badan pada anak, kita juga patut berasa malu untuk memberikan komen yang bukan-bukan.
Benar, akhir zaman ini orang semakin hilang rasa malu. Kalau dulu kita tidak pernah terbayangkan pengantin bercium dalam masjid di depan orang ramai, hari ini perkara itu sudah terjadi. Yang jenis memuat naik gambar menyusukan anak mereka juga sudah ada.
Marilah kita mengubah cara pandangan kita terhadap maruah. Hargai isteri kita, bantu, sokong dan lindungilah maruah mereka. Bantulah mereka agar selesa dan memudahkan proses penyusuan. Tetapi jangan sesekali menjadikan itu sebagai modal publisiti. Ingat, apa-apa yang kita muat naik di media sosial akan kekal, meskipun telah dipadam. Fikirlah panjang sikit. - Iqbal Syarie | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM