'Saya Hampir Rugi RM1,900 Ditipu Pembeli Di Laman Mudah'


Salam, mohon kongsikan penipuan resit transfer bank.

Kisahnya saya menjual iPhone 6 di laman mudah.com dengan harga RM1,900. Selepas itu saya dihubungi oleh seorang lelaki ini meminta saya menjual iPhone itu kepadanya dan meminta saya untuk mengirimkan barang itu ke Sabah. 

Saya pun bersetuju untuk mengirimkan barang itu sekiranya wang bayaran dikirimkan ke akaun bank saya pada hari yang sama juga.

Sebelum saya mengirimkan barang itu, dia bertanya sama ada boleh untuk transfer duit memandangkan CIMB Bank jauh untuk bank in. Saya pun bersetuju berbuat demikian dan setelah dia selesai, dia menghantarkan gambar resit bukti kiriman wang tersebut. 

Selepas itu, saya pun terus mengirimkan barang itu memandangkan saya sudah berada di pejabat pos pada ketika itu.
Selesai urusan di pejabat pos, saya terus ke bank untuk memeriksa akaun saya. Namun tiada sebarang perubahan dalam akaun, ternyata duit itu belum dikirimkan. Saya terus menghubungi lelaki itu dan dia meminta saya menunggu seketika sementara dia pergi ke bank untuk bertanyakan perkarai tu.

Selepas setengah jam berlalu, lelaki itu menjelaskan bahawa pihak bank memaklumkan yang duit RM1,900 itu akan dimasukkan ke dalam akaun saya selepas tiga hari bekerja selepas jam 2.30 petang.
Saya percaya dan yakin dengan penjelasan yang diberi. Lagipun resit bukti pembayaran juga telah diberikan kepada saya. 


Hari ketiga, saya pergi ke bank untuk memeriksa akaun bank dan mendapati wang itu masih belum dikirimkan ke akaun saya. Saya terus bergegas bertanya mengenai perkara itu pada kakitangan bank. Menurut pegawai bank, resit kiriman wang yang diberikan kepada saya itu adalah palsu. Dia juga hairan, urusan transfer yang ditetapkan selama tiga hari, paling lewat pun 2 hari bekerja. Pegawai itu juga menunjukkan kepada saya bahawa resit itu telah diubahsuai oleh lelaki tersebut.

Alhamdulillah saya sempat membuat aduan pada PosLaju untuk menghentikan penghantaran barang tersebut. Mujur barang itu belum sampai ke tangan lelaki itu dan masih berada di Pejabat Pos Kota Kinabalu. Saya meminta barang itu dikembalikan kepada saya. 

Saya kongsikan perkara ini agar kita sentiasa berhati-hati dalam urusan jual beli yang dibuat secara online. Saya sertakan gambar resit yang telah diubahsuai oleh lelaki itu. 

Terima kasih kepada Pegawai Khidmat Pelanggan PosLaju, Puan Katijah di atas pertolongan beliau.

Kalau dizoom pada nombor '1900' itu telah pun ditampal dengan kertas lain. Izzwan Aziz | Ditulis semula untuk siaran semula di THEHYPEMEDIA.COM